Teks: Norhasbi Abdul Samad
Saya merupakan
anak jati kelahiran Selangor. Anak ke enam dari sembilan orag adik-beradik dilahirkan
dalam keluarga yang sederhana. Ibu suri rumah dan ayah seorang petani. Teringat
waktu zaman persekolahan, ada saja aktiviti jualan yang kami lakukan untuk
menampung perbelanjaan sekolah atau untuk membeli keperluan sendiri. Sebagai
contoh menjual nangka, rambutan, sagun kelapa dan juga nasi lemak. Hasil
jualan, kami boleh beli apa yang kami inginkan. Alangkah gembiranya ketika
itu apabila mendapat keuntungan dari hasil jualan. Sepasang telekung baru untuk di bawa ke sekolah agama adalah barang yang pertama saya beli hasil jualan di sekolah.
Alhamdulillah,
dengan berkat doa ibu bapa dan keluarga serta usaha gigih, saya berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah
Sarjana Muda Kepujian dalam bidang Pengurusan Pentadbiran di UIAM. Pengkhususan
dalam bidang kewangan. Pengalaman berniaga tidak terhenti begitu sahaja. Saya
juga aktif dalam aktiviti persatuan. Menjadi ahli biro ekonomi menjadi platform
bagi saya belajar cara untuk berniaga dan berinteraksi dengan orang ramai.
Cita-cita
saya sedari kecil adalah untuk
menjadi seorang pendidik. Walaupun, saya tidak berjaya menjadi seorang guru selepas
beberapa kali menghadiri ujian saringan KPLI tetapi syukur alhamdulillah, Allah beri
yang rezeki yang lebih dari itu. Iaitu pada tahun 2008 saya diberi peluang bekerja sebagai
penolong pensyarah di salah sebuah universiti IPTS. Kini saya memegang jawatan sebagai pensyarah dalam bidang Perbankan
dan Kewangan Islam. Syukur kehadrat Ilahi, kerana inilah juga harapan ibu buat
anaknya. Bertugas sebagai pendidik memerlukan komitmen dan amanah yang tinggi.
Perkongsian hidup bersama suami, En Haizam Irwan Toha dan kini telah dikurniakan 4 orang anak yang comel dan aktif iaitu Haikal (10 tahun), Hana (8 tahun), Hameem (4 tahun) dan Hafni (2 tahun). Pada tahun ini juga, kami menanti kelahiran anak kami yang ke 5. Moga semua dipermudahkan.
Sebagai ibu bekerjaya, tidak mematahkan semangat saya untuk menimba
pelbagai ilmu. Suami amat mendorong minat saya. Pada mulanya hanya
suka-suka untuk belajar tetapi akhirnya menjadi salah satu cara untuk menjana
pendapatan sampingan buat keluarga. Belajar pelbagai kemahiran tidak rugi.
Pelbagai kelas asas telah saya ikuti seperti menjahit langsir dan membuat
coklat buatan tangan. Menjahit langsir hanya untuk membuat langsir rumah
sendiri, dapat juga dapat mengurangkan kos upah menjahit sebab rumah kami rumah
kampung yang punya banyak tingkap.
Untuk
pembuatan coklat buatan tangan, saya berusaha untuk meningkatkan lagi kemahiran ini.
Seni pembuatan bermula dari kelas asas selebihnya mengikut kreativiti saya
berpandukan kehendak dan tema pembeli untuk pelbagai majlis. Pelanggan saya
pada ketika ini hanya rakan sekerja saya dan suami. Dalam pada sibuk
menjalankan amanah sebagai pensyarah, sempat juga saya mengambil peluang untuk
menerima tempahan gubahan hantaran pertunangan dan perkahwinan serta pelbagai majlis terutama sambutan harijadi.
Harapan saya,
dengan lahirnya blog ini “Seni Kreatif Coklat Homemade” yang sudah lama saya idam-idamkan dapat memberi peluang bagi ibu-ibu
yang masih bekerja dan juga surirumah khususnya sebagai platform untuk berkongsi ilmu dan
seterusnya menjana pendapatan sampingan
untuk keluarga tersayang.
Penulis bersama keluarga tersayang
Salam Ukhuwwah & Salam Sayang dari saya.
Norhasbi Abd Samad
No comments:
Post a Comment