09/06/2014

Bahan Asas Buat Coklat

Teks: Norhasbi Abdul Samad

Alhamdulillah, rezeki Allah maha luas, hari ini saya menerima tempahan coklat homemade daripada rakan sekerja suami. Dua jenis coklat hantaran iaitu bentuk bakul dan juga kotak love sebagai pilihan. Nampaknya, cuti sekolah akan berakhir minggu ini, maka masing-masing mengambil peluang untuk mengadakan majlis keraian masing-masing. Untuk entri kali ini, saya ingin berkongsi dengan anda bahan-bahan asas untuk membuat coklat buatan tangan. 

 Bahan-Bahan yang diperlukan:

1.      Coklat 
Coklat yang sesuai dan mudah untuk menghasilkan coklat buatan tangan adalah jenis kompaun. Ia didatangkan dengan tiga jenis iaitu coklat putih, coklat susu dan coklat hitam. Jenama coklat ini terpulang kepada anda untuk memilihnya. Pelbagai jenama ada di pasaran seperti Beryls, Collata dan juga Selbourne. Coklat Beryls adalah salah satu jenama coklat yang dihasilkan oleh Lembaga Koko Malaysia.  Yang pasti ada tulisan compound/konveture dan bukan coklat masakan :)

2.      Acuan.
Acuan boleh didapati dipasaran dengan pelbagai bentuk. Contoh acuan adalah seperti coklat praline,coklat oreo, coklat lolly/candy, kotak hiasan dan pelbagai lagi. Untuk acuan sebenarnya anda boleh guna apa yang ada di rumah seperti acuan agar-agar dan aiskrim. Mengikut kreativiti masing-masing.

Tips: Pastikan acuan sentiasa kering ketika menggunakannya. Ini adalah untuk menghasilkan coklat buatan tangan yang cantik dan licin. 

3.      Bekas kedap udara/periuk.
Alat ini untuk digunakan untuk mencairkan coklat. Jangan panaskan coklat terus atas api dapur. Pencairan coklat memerlukan double boiler ataupun dibawah kukusan air. Boleh juga menggunakan microwave oven yang ada fungsi double boiler. Tapi anda perlu pandai untuk melaraskannya takut-takut coklat akan hangit :).

Tips: JANGAN ada percikan air terkena pada coklat yang dicairkan. Jika terkena air, hasilnya nanti coklat akan rosak.

4.      Mangkuk stainless steel
Mangkuk ini digunakan untuk mencairkan coklat diatas bekas kedap udara ataupun periuk. Tahap pencairan coklat amat mudah kerana memerlukan tahap kepanasan wap air.

5.      Sudu/spatula
Jenis sudu atau spatula yang digunakan untuk coklat homemade adalah daripada jenis plastik, bukan daripada jenis kayu ataupun besi. 

6.      Plastik tiga segi (Piping Bag)
Ini adalah untuk memudahkan kita untuk mengisi coklat ke dalam acuan. Untuk hiasan, boleh dibuat lubang di hujung muncung piping bag dalam kadar yang kecil, agar coklat yang keluar nanti tidak banyak melimpah.

Ini adalah antara bahan asas yang perlu untuk membuat coklat buatan tangan. Bila anda sudah bersedia, maka mudahkan anda membuat coklat untuk dimakan bersama keluarga. Jika sudah mahir anda boleh menjana pendapatan sampingan di rumah. Nantikan entri saya akan datang untuk belajar asas buat coklat yang mudah.


Salam sayang dari saya
Norhasbi Abdul Samad


No comments:

Copyright to NORHASBI
Designed by UMIESUEstudio 2015