18/06/2014

Berniaga Coklat Homemade

Teks: Norhasbi Abdul Samad

Rasanya sudah lebih seminggu saya tidak menulis di blog atas tuntutan kerja. Di sini saya ambil kesempatan untuk berkongsi sedikit pengalaman saya. Bagaimana saya boleh berniaga coklat homemade untuk menjana pendapatan sampingan?.

Cerita ini bermula pada tahun 2009, pada mulanya saya hanya mengikut rakan sekerja saya iaitu Puan Salbiah Hanum untuk belajar membuat coklat homemade.Guru coklat kami ialah Puan Natrah, beliau sebenarnya ialah rakan sekerja kami juga. Pada ketika itu, beliau dalam proses persediaan untuk menyambung pelajarannya ke luar negara. Sebelum beliau berangkat, beliau ingin berkongsi ilmu dengan kami, di samping itu dapat juga menambah duit poket katanya. Maka kami mengambil kesempatan untuk belajar. Pelbagai soalan yang kami utarakan sebelum masuk kelas.Rupa-rupanya, bukan susah untuk membuat coklat homemade ini. Lagi pula, tidak memerlukan oven untuk proses membakar. Hanya memerlukan peti sejuk sahaja. Nampak mudah bukan.


Ini adalah hasil coklat homemade yang pertama saya. Pelbagai bentuk dan rasa yang dihasilkan. Walaupun tidak secantik chef professional tapi boleh membuatkan orang di sekeliling saya berasa gembira, terutamanya anak-anak. Dari hari ke sehari saya cuba untuk memperbaiki hasil pembuatan coklat. Saya mengambil peluang menghadiahkan coklat ketika majlis keraian ahli keluarga dan juga rakan-rakan sekerja. Alhamdulillah, penerimaan dan juga komen yang amat memberangsangkan dari mereka.

Suami adalah insan istimewa yang memberi galakan sepenuhnya untuk meneruskan perniagaan sampingan coklat homemade ini. Pada mulanya, kami membuat jualan coklat homemade pada hari raya.Teringat saya pada ketika itu, kami mendapat tempahan lebih daripada 100 balang. Tidak menang tangan dibuatnya. Pelbagai design dan perisa permintaan dari pelanggan cuba di penuhi dengan sebaiknya








Jualan kami bukan hanya tertumpu semasa jualan hari raya sahaja, permintaan diteruskan dari pelanggan setia kami sehingga ke hari ini untuk majlis harijadi, majlis korporat, aqiqah atau cukur jambul anak dan juga majlis pernikahan dan persandingan.Alhamdulillah, rezeki Allah maha luas. 

 Gubahan hantaran yang di hasilkan semasa majlis pertunangan adik lelaki penulis

Untuk pemasaran, kami hanya menggunakan facebook khusus untuk perniagaan ini iaitu D'h Chocs Hashaiz. Kami namakan D'h Chocs iaitu Coklat di hatiku. Hashaiz pula gabungan nama saya bersama suami Hasbi dan Haizam. Di bawah ini adalah antara gambar profile yang kami gunakan. Sebenarnya, banyak lagi yang perlu kami pelajari untuk meningkatkan jualan coklat homemade ini.


Kali ini, kami gunakan blog sebagai medium perantara. Sebenarnya sebelum ini telah banyak buku yang dibeli untuk saya belajar buat blog. Memang berbeza jika kita berguru dan tidak berguru.Kini, apabila saya memasuki kelas asas buat blog dan fanpage anjuran Akademi Belajar Dari Rumah (ABDR) dibawah naugan Puan Masayu Ahmad, telah membuka minda saya untuk bergerak lebih jauh lagi. Moga blog ini bermanfaat untuk rakan-rakan yang berusaha untuk menjana pendapatan sampingan dari rumah. InsyaAllah...

"Chocolate is the universal language of friendship & love"

09/06/2014

Berjimat dengan Lampin moden (Cloth Diaper)

Teks: Norhasbi Abdul Samad


Di sini saya ingin kongsikan sedikit tips berjimat cermat buat para ibu dan ayah. Tips kali ini tentang penggunaan cloth diaper (CD) atau lampin moden. Saya mula menggunakan CD semasa mendapat anak yang ke tiga. Atas rentetan daripada menghadapi masalah kenaikan harga barang, saya cuba mencari alternatif. InsyaAllah, untuk baby saya yang ke empat ini, saya akan meneruskan penggunaannya. Bagi saya banyak kelebihan dan kebaikannya. Namun ia bergantung kepada kesedaran ibu-ibu tentang perancangan masa, tenaga dan juga wang ringgit.

1. Kenapa pilih Cloth Diaper (CD) atau lampin moden?



1. Lebih Jimat
Benar, ia lebih jimat. Pihak bapa pasti menggalakkan konsep berjimat-cermat ni sebab mengurangkan kos perbelanjaan. Cuba kita kaji, sekurang-kurangnya anak kita akan gunakan disposable pampers selama 3 tahun. Mengikut pengalaman, kos penggunaan pampers untuk sebulan RM30 x 2 pek x 12 bulan  x 3 tahun = RM2160.

Untuk permulaan penggunaan CD pula,  RM25 x 20set = RM500. Cd ini boleh digunakan hingga 3 tahun sebab ia boleh laras mengikut saiz baby. Jenis CD adalah pelbagai seperti button dan juga velcro. .Kos seperti sabun, elektrik dan juga air adalah bergantung cara kita menggunakannya.Masih lagi kos dibawah paras RM1K.CD ini juga boleh diwariskan kepada adik-beradik atau boleh juga buat jualan prelove item :).

2. Lebih sihat
Selama saya menggunakan cloth diaper, baby tiada ruam lampin. Alhamdulillah, anak pun bergerak dengan selesa dan tidur dengan lena.Sesuai juga untuk kulit bayi yang sensitif.

3. Gaya baru
Penggunaan lampin ini memang sudah lama dipraktikkan. Ibu-ibu kita dulu juga menggunakan lampin kain. Sekarang, lampin kain di modenkan dengan pelbagai corak dan saiz.Mudah juga di dapati di pasaran terutamanya online.

4. Mesra Alam
Yang utama ialah mesra alam. Selamatkan bumi, jadi tiada lambakan sampah berlaku. Kurang bau yang tidak enak dihidu dan proses pelupusan yang amat mudah dijalankan.


2. Bagaimana menguruskan CD?
  • CD yang baru perlu di prewash dahulu. Ini untuk memudahkan serapan.Minimum 3 kali ke 5 kali basuhan. Bergantung jenis inner CD.
  • Sabun untuk CD adalah yang mesra alam. Tidak boleh yang ada pelembut dan kandungannya tidak terlalu kuat seperti Dynamo, Top, Breeze dan jenama yang sewaktu dengannya.Sabun yang saya gunakan adalah seperti Kiddy Wash Cosway dan juga RGD iaitu rock green detergent.
  • Cucian boleh di buat setiap hari atau pun 2 hari sekali. Bergantung kuantiti CD yang kita ada. Cucian menggunakan mesin basuh ataupun cucian tangan. Dikeringkan di bawah cahaya matahari atau di dalam rumah.
  • Selepas beberapa bulan penggunaannya, jangan lupa untuk lakukan stripping (cucian untuk mengembalikan serapan,menghilangkan kotoran,warna dan bau yang tidak enak daripada CD). Hasilnya CD akan berubah seperti baru. Jangka hayat penggunaan CD juga boleh bertahan lama.

3. Bagaimana cara penggunaan CD?

Penggunaan Cd bergantung kepada kencing&berak anak. Di bawah ini contoh jadual penggunaan CD mengikut jadual masa penggunaan. Penggunaan dlm 3-4 jam. Jadi CD yang diperlukan dalam 6 helai satu hari atau pun lebih. 

Carian:google

Moga dengan sedikit perkongsian ini dapat memberikan kesedaran para ibu & ayah untuk lebih berjimat-cermat dalam menguruskan perbelanjaan harian keluarga.

KELUARGA BAHAGIA

Salam kasih dari saya
Norhasbi Abdul Samad





Bahan Asas Buat Coklat

Teks: Norhasbi Abdul Samad

Alhamdulillah, rezeki Allah maha luas, hari ini saya menerima tempahan coklat homemade daripada rakan sekerja suami. Dua jenis coklat hantaran iaitu bentuk bakul dan juga kotak love sebagai pilihan. Nampaknya, cuti sekolah akan berakhir minggu ini, maka masing-masing mengambil peluang untuk mengadakan majlis keraian masing-masing. Untuk entri kali ini, saya ingin berkongsi dengan anda bahan-bahan asas untuk membuat coklat buatan tangan. 

 Bahan-Bahan yang diperlukan:

1.      Coklat 
Coklat yang sesuai dan mudah untuk menghasilkan coklat buatan tangan adalah jenis kompaun. Ia didatangkan dengan tiga jenis iaitu coklat putih, coklat susu dan coklat hitam. Jenama coklat ini terpulang kepada anda untuk memilihnya. Pelbagai jenama ada di pasaran seperti Beryls, Collata dan juga Selbourne. Coklat Beryls adalah salah satu jenama coklat yang dihasilkan oleh Lembaga Koko Malaysia.  Yang pasti ada tulisan compound/konveture dan bukan coklat masakan :)

2.      Acuan.
Acuan boleh didapati dipasaran dengan pelbagai bentuk. Contoh acuan adalah seperti coklat praline,coklat oreo, coklat lolly/candy, kotak hiasan dan pelbagai lagi. Untuk acuan sebenarnya anda boleh guna apa yang ada di rumah seperti acuan agar-agar dan aiskrim. Mengikut kreativiti masing-masing.

Tips: Pastikan acuan sentiasa kering ketika menggunakannya. Ini adalah untuk menghasilkan coklat buatan tangan yang cantik dan licin. 

3.      Bekas kedap udara/periuk.
Alat ini untuk digunakan untuk mencairkan coklat. Jangan panaskan coklat terus atas api dapur. Pencairan coklat memerlukan double boiler ataupun dibawah kukusan air. Boleh juga menggunakan microwave oven yang ada fungsi double boiler. Tapi anda perlu pandai untuk melaraskannya takut-takut coklat akan hangit :).

Tips: JANGAN ada percikan air terkena pada coklat yang dicairkan. Jika terkena air, hasilnya nanti coklat akan rosak.

4.      Mangkuk stainless steel
Mangkuk ini digunakan untuk mencairkan coklat diatas bekas kedap udara ataupun periuk. Tahap pencairan coklat amat mudah kerana memerlukan tahap kepanasan wap air.

5.      Sudu/spatula
Jenis sudu atau spatula yang digunakan untuk coklat homemade adalah daripada jenis plastik, bukan daripada jenis kayu ataupun besi. 

6.      Plastik tiga segi (Piping Bag)
Ini adalah untuk memudahkan kita untuk mengisi coklat ke dalam acuan. Untuk hiasan, boleh dibuat lubang di hujung muncung piping bag dalam kadar yang kecil, agar coklat yang keluar nanti tidak banyak melimpah.

Ini adalah antara bahan asas yang perlu untuk membuat coklat buatan tangan. Bila anda sudah bersedia, maka mudahkan anda membuat coklat untuk dimakan bersama keluarga. Jika sudah mahir anda boleh menjana pendapatan sampingan di rumah. Nantikan entri saya akan datang untuk belajar asas buat coklat yang mudah.


Salam sayang dari saya
Norhasbi Abdul Samad


02/06/2014

5 MITOS IBU BEKERJA

Teks: Norhasbi Abdul Samad

Bismillahirrahmanirrahim

Tempohari, saya membeli barang-barang baby di Butik Fiffy di Klang. Persediaan awal perlu untuk menanti kehadiran orang baru.  Walaupun anak ke-4, persediaan terutama barang-barang keperluan seperti baju, sarung tangan, topi, alatan mandi dan sebagainya perlu juga disediakan. Saya hanya membeli barang-barang perlu dan wajib sahaja kerana barang-barang yang elok dari abang dan kakaknya masih boleh digunakan. Hasil daripada pembelian barang-barang tersebut, butik tersebut menghadiahkan senaskah majalah Mami Baby keluaran Mei 2014. Banyak juga panduan dan info dalam majalah ini bagi ibu dan juga anak. Berbalik pada topik entri kali ini, saya nak kongsikan sedikit info menarik dari pembacaan saya dalam ruangan eksklusif Istimewa Hari Ibu.

  
5 MITOS MENGENAI IBU BEKERJA

Mitos 1:  Terdapat satu sikap tidak bertolak ansur di antara kehidupan bekerja dan "kehidupan" selebihnya.

Kebenaran: Kehidupan adalah seperti cecair.



Mitos 2: Anda boleh melakukan kesemuanya.

Kebenaran: Tidak kiralah betapa hebat dan berupayanya anda, anda tidak boleh melakukan kesemuanya.



Mitos 3: Setelah anda mencapai keseimbangan, anda boleh berganjak ke satu perkara lain.

Kebenaran: Satu-satunya perkara yang malar di dalam kehidupan adalah perubahan.



Mitos 4: Memberi kepada orang lain menjadikan anda seorang pekerja, rakan atau ibu yang lebih baik.

Kebenaran: Anda mempunyai masa dan ruang yang terhad di dalam hidup anda.



Mitos 5: Struktur yang terlalu banyak menyebabkan ketegangan.

Kebenaran: Mencipta satu sistem akan menenangkan kekecohan.


"Kesimpulannya, ingatlah agar melayan diri kita dengan baik. Ia adalah satu cabaran yang besar untuk melakukan kesemuanya sebagai seorang ibu. Kita tidak bersendirian. Dapatkan sokongan daripada ibu-ibu lain. Perkara yang terbaik yang kita boleh lakukan adalah dengan mengembangkan perasaan belas kasihan: kongsi pengalaman dengan keihklasan dan gurauan dan saling bantu membantu diantara satu sama lain di sepanjang jalan kehidupan kita".

Ikhlas dari

Norhasbi Abdul Samad




Jenis Gubahan Coklat Hantaran

Teks: Norhasbi Abdul Samad


Cuti sekolah dah nak masuk minggu kedua. Inilah masanya bawa anak-anak bercuti, melawat tempat-tempat menarik di dalam atau luar negara. Kalau tak pun, ibu ayah ambil peluang bawa anak-anak pulang ke kampung jumpa atuk dan nenek. Masa ini jugalah sesuai bagi sesiapa yang nak melangsungkan pertunangan atau perkahwinan. Seluruh ahli keluarga akan berkumpul beramai-ramai bantu-membantu antara satu sama lain untuk menjayakan majlis. Tentunya riuh rendah dan gembira sekali.

Bila sebut sahaja majlis pertunangan dan perkahwinan, saya nak kongsi hasil daripada seni kreatif gubahan coklat homemade saya yang telah ditempah oleh pelanggan. Tempahan ini mengikut tema dan budget pelanggan.

1. Gubahan dalam kotak eksklusif.


 



2. Gubahan bakul menjadi pilihan utama pelanggan.


 



 3. Idea kreatif (carian google)




Sesiapa yang ingin buat tempahan boleh contact saya. Bagi yang dah pandai buat, boleh jadikan sebagai panduan ya.

Salam sayang dari saya

Norhasbi Abdul Samad


01/06/2014

Coklat: Tak kenal maka tak cinta

Teks: Norhasbi Abdul Samad

Photo: Carian google


Assalamualaikum w.b.t.

Tak kenal maka tak cinta. Jadi, untuk entri kali ini saya ingin berkongsi info mengenai coklat. Bagi yang baru nak mula belajar mesti banyak persoalan tentang coklat ni, coklat jenis apa yang perlu kita gunakan untuk menghasilkan coklat. Bagaimana caranya nak buat buat, guna oven ke? Bolehkah kita menghasilkan coklat seperti chef-chef profesional di luar sana? Bermacam-macam persoalan lagi. Mesti anda teruja. Sebenarnya, banyak yang perlu kita tahu untuk menghasilkan coklat yang sedap, enak dan cantik.

Semua orang tahu coklat berasal daripada koko. Koko akan melalui beberapa peringkat pemprosesan dimana bji-biji koko akan menghasilkan massa koko, lemak koko dan juga serbuk koko. Daripada bahan-bahan utama ini boleh menghasilkan coklat yang diingini seperti coklat gelap, coklat susu dan coklat putih.


 Disini saya akan kongsikan beberapa jenis coklat yang perlu anda tahu.

1. Coklat kouvetur (couveture)
Coklat ini dikenali sebagai coklat tulen yang bermutu tinggi. Bahan utama menghasilkan coklat ini adalah daripada penggunaan bahan utama. iaitu massa koko dan lemak koko. Coklat inilah yang selalu digunakan oleh chef-chef coklat professional. Tidak dinafikan, coklat yang dihasilkan selalunya amat mahal sebab kaedah pembuatannya amat rumit.

2. Coklat kompaun (compound)
Nak coklat yang lebih murah dan mudah pengendalian, anda boleh guna coklat ini. Ia dihasilkan daripada penggunaan serbuk koko dan lemak koko. Mudah sangat nak dapat dipasaran. Ada juga coklat kompaun yang tinggi mutunya, jauh lebih sedap dan cantik berbanding rasa dan tekstur coklat kouvetur.

3. Coklat berperisa
Coklat ini telah ditambah warna dan perisa. Ia dihasilkan daripada coklat putih. Mudah juga nak dapat coklat ini dipasaran. Contohnya coklat perisa strawberi berwarna merah jambu, coklat perisa oren berwarna jingga, coklat perisa anggur berwarna purple dan pelbagai perisa lagi. Tips: Anda juga boleh buat sendiri coklat berperisa ni mengikut kreativiti masing-masing. Jangan lupa ikuti perkembangan blog ni ya :)

4. Coklat tanpa Gula (Coklat Diabetik)
Coklat yang dihasilkan tanpa gula, bahan utama iaitu gula biasa (sukrosa) digantikan dengan gula tiruan seperti Maltitol, Sorbitl dan Isomalt. Bahan-bahan yang lain sama seperti coklat kouvetur. Harganya pun agak mahal dan tidak banyak dipasaran. Coklat ini amat sesuai untuk penghidap diabetes /kencing manis.


Bila dah tahu jenis-jenis coklat, mudah la lepas ni kita membuat coklat. Kita boleh menikmati coklat dalam pelbagai bentuk, warna, rasa, saiz dan tekstur. Mesti anak-anak teruja juga, sebab ibunya boleh buat coklat sama macam coklat dipasaran.



Sumber: Buku Terokai Rahsia Coklat bersama Chef Amir
Copyright to NORHASBI
Designed by UMIESUEstudio 2015