27/05/2014

Ilmu itu rezeki


Teks: Norhasbi Abdul Samad

Assalamualaikum w.b.t

Sesiapa yang menempuh satu jalan kerana mencari ilmu, maka Allah akan mudahkan baginya jalan ke syurga. (Riwayat Muslim)

Perhatikan anak-anak kita, dari dalam buaian sehingga boleh merangkak, berjalan, bercakap, mengenal ABC, 123 dan sehingga boleh membezakan baik buruknya. Pokok pangkalnya, dengan ilmu yang diberikan oleh ibu yang hebat, seseorang dapat menjalani kehidupan dengan mudah, cepat dan bijak.

Ilmu dapat memberi pencerahan bagi kita dalam kegelapan. Bila berkehendakkan sesuatu untuk merubah diri dari malas kepada rajin, dari pendiam kepada peramah dan seterusnya, menjadikan diri berilmu yang boleh memberi manfaat buat diri, keluarga dan orang lain.

Bila sebut tentang ILMU, ilmu telah mengubah cara kita melakukan kerja. Kerja kita akan jadi mudah dan ringan. Sebagai contoh, sebagai seorang ketua perlu tahu cara menguruskan syarikat. Pekerja pula perlu tahu bagaimana melaksanakan tugasan yang diberi supaya efektif dan efisyen. Ibu atau ayah perlu tahu menguruskan diri dan keluraga. Anak pula tahu tanggungjawab untuk meningkatkan pengetahuan dalam pelbagai bidang. Hakikatnya, dalam dunia ni tiada yang mudah selain dengan ILMU.

Pada zaman sekarang, pelbagai cara untuk dapatkan ilmu. Apatah lagi zaman IT. Selain menghadiri kelas berjumpa guru atau melalui buku-buku atau rujukan ilmiah, kita boleh perolehi daripada melayari internet. Pengalaman saya yang ingin memerlukan ilmu dalam membuat coklat, saya luangkan masa pergi ke kelas asas membuat coklat. Kini, Allah beri rezeki saya untuk bertemu orang-orang yang hebat bagi menambah ilmu cara asas buat blog melalui ABDR. Maka dengan ilmu yang telah diperolehi memudahkan saya berkongsi sedikit pengalaman dan pengetahuan tentang produk dan cara berbisness coklat homemade untuk ibu menjana pendapatan sampingan melalui alam maya.

Mencari ilmu bukan mudah. Banyak halangan yang perlu kita tempuhi. Memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan wang. Maka, Allah janjikan ganjaran yang amat besar bagi orang yang bersusah payah dalam menuntut ilmu. Yang penting NAWAITU kita iaitu semata-mata untuk mendapatkan keredhaanNya dan menghidupkan agama Allah.



Salam kasih salam sayang dari saya

Norhasbi Abd Samad






26/05/2014

Salam Perkenalan



Teks: Norhasbi Abdul Samad

Saya merupakan anak jati kelahiran Selangor. Anak ke enam dari sembilan orag adik-beradik dilahirkan dalam keluarga yang sederhana. Ibu suri rumah dan ayah seorang petani. Teringat waktu zaman persekolahan, ada saja aktiviti jualan yang kami lakukan untuk menampung perbelanjaan sekolah atau untuk membeli keperluan sendiri. Sebagai contoh menjual nangka, rambutan, sagun kelapa dan juga nasi lemak. Hasil jualan, kami boleh beli apa yang kami inginkan. Alangkah gembiranya ketika itu apabila mendapat keuntungan dari hasil jualan. Sepasang telekung baru untuk di bawa ke sekolah agama  adalah barang yang pertama saya beli hasil jualan di sekolah.

Alhamdulillah, dengan berkat doa ibu bapa dan keluarga serta usaha gigih, saya berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam bidang Pengurusan Pentadbiran di UIAM. Pengkhususan dalam bidang kewangan. Pengalaman berniaga tidak terhenti begitu sahaja. Saya juga aktif dalam aktiviti persatuan. Menjadi ahli biro ekonomi menjadi platform bagi saya belajar cara untuk berniaga dan berinteraksi dengan orang ramai. 

Cita-cita saya sedari kecil adalah untuk menjadi seorang pendidik. Walaupun, saya tidak berjaya menjadi seorang guru selepas beberapa kali menghadiri ujian saringan KPLI tetapi syukur alhamdulillah, Allah beri yang rezeki yang lebih dari itu. Iaitu pada tahun 2008 saya diberi peluang bekerja sebagai penolong pensyarah di salah sebuah universiti IPTS. Kini saya memegang jawatan sebagai pensyarah dalam bidang Perbankan dan Kewangan Islam. Syukur kehadrat Ilahi, kerana inilah juga harapan ibu buat anaknya. Bertugas sebagai pendidik memerlukan komitmen dan amanah yang tinggi.

Perkongsian hidup bersama suami, En Haizam Irwan Toha dan kini telah dikurniakan 4 orang anak yang comel dan aktif iaitu Haikal (10 tahun), Hana (8 tahun), Hameem (4 tahun) dan Hafni (2 tahun). Pada tahun ini juga, kami menanti kelahiran anak kami yang ke 5. Moga semua dipermudahkan. 

Sebagai ibu bekerjaya, tidak mematahkan semangat saya untuk menimba pelbagai ilmu. Suami amat mendorong minat saya. Pada mulanya hanya suka-suka untuk belajar tetapi akhirnya menjadi salah satu cara untuk menjana pendapatan sampingan buat keluarga. Belajar pelbagai kemahiran tidak rugi. Pelbagai kelas asas telah saya ikuti seperti menjahit langsir dan membuat coklat buatan tangan. Menjahit langsir hanya untuk membuat langsir rumah sendiri, dapat juga dapat mengurangkan kos upah menjahit sebab rumah kami rumah kampung yang punya banyak tingkap. 

Untuk pembuatan coklat buatan tangan, saya berusaha untuk meningkatkan lagi kemahiran ini. Seni pembuatan bermula dari kelas asas selebihnya mengikut kreativiti saya berpandukan kehendak dan tema pembeli untuk pelbagai majlis. Pelanggan saya pada ketika ini hanya rakan sekerja saya dan  suami. Dalam pada sibuk menjalankan amanah sebagai pensyarah, sempat juga saya mengambil peluang untuk menerima tempahan gubahan hantaran pertunangan dan perkahwinan serta pelbagai majlis terutama sambutan harijadi.

Harapan saya, dengan lahirnya blog ini “Seni Kreatif Coklat Homemade” yang sudah lama saya idam-idamkan dapat memberi peluang bagi ibu-ibu yang masih bekerja dan juga surirumah khususnya sebagai platform untuk berkongsi ilmu dan seterusnya menjana pendapatan sampingan untuk keluarga tersayang.
Penulis bersama keluarga tersayang

Salam Ukhuwwah & Salam Sayang dari saya.

Norhasbi Abd Samad


Copyright to NORHASBI
Designed by UMIESUEstudio 2015