16/02/2015

Hadis pilihan: 5 Perkara Sebelum datang 5 Perkara

Teks: Norhasbi Binti Abdul Samad

Bismillahirrahmanirrahim

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : " Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama : masa sihat sebelum sakit. Kedua : masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga : masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat masa mudamu sebelum datang masa tua dan kelima masa hidup sebelum tiba masa mati." (riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

Ya Allah, tiba-tiba tergerak untuk menulis dan berkongsi hadis ini sebagai peringatan bersama. Sebenarnya sudah sekian lama saya tidak menulis. Sudah hampir bersawang blog yang diimpikan. Harap bukan hangat-hangat tahi ayam. Yang pasti sentiasa mencari ruang dan peluang.

Bila kita renung dan berfikir, Rasullullah mengingatkan kita tentang peri pentingnya pengurusan masa. Tidak kira dalam apa jua keadaan. Sebenarnya setiap kali 5 waktu solat itu adalah tanda kita berjaga-jaga atas 5 perkara di atas.

Huraian 5 perkara sebelum datang 5 perkara:

1. Sihat sebelum sakit
Waktu sihat inilah kita ambil peluang untuk berbakti dan berbuat baik kepada orang sekeliling. Bagi para ibu terutamanya,pelbagai tugasan perlu dilaksanakan untuk keluarga tersayang. Kesihatan fizikal perlu diutamakan.Jaga pemakanan dan tidak melakukan perkara yang boleh memudaratkan. Sayangi diri. Di samping itu, kesihatan dalaman dan juga fikiran perlu dititik beratkan. Buat sesuatu perkara dengan tenang dan sabar. Supaya setiap tugasan yang kita buat akan menjadi mudah dan di redhai olehNya. Ibu sihat keluarga ceria.
2. Kaya sebelum miskin
Setiap orang mengimpikan kekayaan. Lihatlah, nabi kita Muhammad S.A.W adalah contoh seorang yang kaya raya. Menjalankan perniagaan bersama Siti Khadijah. Baginda tidak lokek untuk membantu dan menyayangi orang disekelilingnya. Kekayaan yang dianjurkan dalam Islam bukanlah untuk memenuhi keperluan diri sendiri tetapi ia adalah peluang untuk membantu orang yang memerlukan.Amalan bersedekah merupakan tips mudah menjemput rezeki. Rukun Islam yang ke 4 iaitu Zakat. Orang Islam diwajibkan membayar zakat fitrah pada 1 Syawal kerana ingin membantu orang yang tidak punya apa-apa agar merasai kegembiraan seperti mana orang yang berada miliki, sekurang-kurangnya mereka punya cukup makan,pakai dan tempat tinggal. Bayangkan jika kita tidak punya apa-apa, hilang rasa nikmat ini dan paling di takuti jika hidup meminta-minta.Nauzubillaah.

3. Lapang sebelum sibuk
Kita selalu terlepas pandang, membuat sesuatu kerja dengan bertangguh-tangguh dengan alasan esok masih ada. Tapi bila datang waktu sibuk, tidak cukup untuk rehat,makan dan kekadang ada yang tertinggal untuk solat. Astaghfirullah, ampunkan kami Ya Allah. Bagi ibu-ibu perlu ada perancangan dalam membuat sesuatu. Gunakan masa yang ada untuk perkara-perkara yang bermanfaat. Timba seberapa banyak ilmu yang ada dengan menitik beratkan pembahagian masa bersama keluarga, kerja dan juga masa mendekatkan diri pada tuhan yang esa. Kata-kata perangsang "Jika kita gagal merancang, kita merancang untuk gagal". Jika gagal, mesti rasa sedih bukan.

4. Muda sebelum tua
Masa muda adalah peluang untuk kita membuat pelbagai perkara, mencari kemewahan dan memenuhi segala impian.Namun ada batasannya, jangan lupa kewajipan kita untuk mencari redha Allah. Bila sudah tua dan uzur, kenikmatan itu akan pudar.Maka penuhi hidup ini dengan amal-amal soleh.

5. Hidup sebelum mati
Masa hidup adalah nikmat utama umat manusia. Bila hidup, pelbagai perkara boleh dilakukan. Empat perkara di atas jika kita lalai boleh perbaiki. Namun bila kita tidak ada di dunia ini lagi, kita tidak boleh berbuat apa-apa melainkan amal soleh yang kita buat semasa hidup, sedekah jariah yang kita hulurkan dengan hati yang ikhlas dan juga doa daripada anak soleh yang mengiringi kita.


Cukuplah dahulu, moga kita bertemu lagi...


Indahnya Islam

Salam sayang dari saya




No comments:

Copyright to NORHASBI
Designed by UMIESUEstudio 2015